Pages

February 5, 2014

Terlanggar orang - real life event

Mari berbahasa Melayu baku..

Bermulanya cerita ketika aku dalam perjalanan mengambil kawanku berdekatan Airport lama, aku menukar lorong dan beralih ke lorong kanan. Hatiku agak tenang sepanjang hari itu. Oleh sebab itu, aku tidak terlalu terburu-buru berkejar dari satu tempat ke tempat yang lain. Tidaklah aku memandu laju.

Dengan tidak semena-mena, muncul suatu jasad manusia di hadapan keretaku. Dia begitu hampir di hadapan. Tangannya menutup muka, seolah-olah cuba menghalang keretaku daripada melanggarnya. Namun semuanya terlambat. Aku memberhentikan kereta dan menekan break dengan sekuat hatinya. Bunyi tayar menyeret di permukaan jalan kudengari dengan sejelas-jelasnya. Akhirnya, kereta aku berhenti. Manusia tersebut telahpun aku langgar. Namun, ku melihatnya bangun dari permukaan jalan, berjalan terhinjut-hinjut. Kesakitan mungkin. Aku tergamam namun pada masa yang sama bersyukur yang dia masih bernyawa. Apa yang dia buat berlari di atas jalan raya pada waktu malam seperti ini? Aku yang terkejut dan tersentak dengan peristiwa itu, tersedar dari lamunan, secara tidak sedar rupa-rupanya aku telah berhenti betul-betul di tengah jalan raya dengan kereta ku drive mode Parking. Aku cepat-cepat mengalihkan kenderaanku ke tepi jalan, di mana manusia yang telah kulanggar tadi senang cuba untuk menenangkan diri. "Kenapa berlari ke tengah jalan raya??!!" tanyaku dengan nada hampir menangis. Aku juga ketakutan. "Aku dikejar anjing kak", jawab budak itu. Usianya mungkin sekitar 20 atau 21. Wajahnya boleh tahan tampannya, berbaju hitam dan berbeg sandang. "Jom kita pergi kecemasan!" ajakku, "Tidak payahlah kak, bukan apa-apa juga" katanya. Setelah beberapa kali kumengajaknya ke hospital, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak pergi. Namun begitu, dia memintaku untuk menghantarnya ke rumahnya yang agak berdekatan.

Hatiku berbisik, "harap-haraplah ini bukan suatu perangkap". Aku memandu ke arah rumahnya. Sepanjang perjalanannya aku masih menyatakan kehairananku mengapa dia perlu berlari ke tengah jalan. Dia menjelaskan disebabkan berkhidmatan bas telah tamat, dia hanya mampu memilih untuk berjalan kaki untuk pulang ke rumah dari bandar. Namun, tanpa disangka, anjing mengejarnya dan dia begitu takut sehingga memilih untuk berlari ke tengah jalan. Apabila difikir-fikirkan, aku pun mungkin akan bertindak sedemikian bila berada dalam situasi yang sama. Dia menunjukkan calar di badannya setelah aku asyik menyatakan kerisauanku dengan keadaannya, termasuklah bertanya adakah dia ada merasa jika ada tulang yang patah. Tiada luka yang mengalirkan darah yang ku dapat lihat. Cuma sedikit calar sahaja. Nasib baik.

Aku menghantarnya di kedai berhampiran rumahnya, aku menawarkan no telefonku sekiranya dia memerlukan apa-apa bantuan, namun dia menolak. 

Harap-harap dia akan cepat sembuh. Walaupun dia berkata, " OK juga sekarang ni kak, tapi ndak tahu lah besok"

Mengapakah nasib aku sedemikian rupa pada hari itu. Mungkin tuhan cuba untuk menunjukkan aku sesuatu............